twitter

Pembentangan - 6 April 2012


Artikel 11: Klik di sini
Tajuk: Teaching Mathematics Concepts Using a Multicultural Approach
By: Frederick L. Uy, California State University

Kritikan:
     Artikel ini banyak membincangkan mengenai kepentingan kepelbagaian budaya dalam pengajaran subjek matematik. Ini adalah selari dengan kehadiran murid yang berbeza adat budaya di dalam kelas. Untuk memenuhi tuntutan tersebut, artikel ini telah menggariskan beberapa kepentingan menvariasikan pendekatan kepelbagaian budaya kedalam pengajaran di sekolah.
     Pertama, mengintegrasikan topik pengajaran matematik dengan kehidupan manusia (minat dan nilai estetika). Kedua, memaksimakan penglibatan semua pelajar untuk meningkatkan tahap keyakinan mereka. Ketiga, mewujudkan pendekatan pembelajaran secara holistik yang boleh diintegrasikan dengan disiplin matematik yang lain. Ini dapat membuktikan penggunaan matematik secara meluas dalam kumpulan-kumpulan masyarakat yang pelbagai. Keempat, memperbetulkan ketidaktepatan kefahaman matematik dalam budaya yang pelbagai. Sekaligus, ia dapat meningkatkan kesejagatan matematik, mengiktiraf dan mengakui kewujudan matematik dalam budaya yang lain. Kelima, memberi pendidikan terhadap kesedaran latar belakang budaya pelajar. Keenam, menggalakan pemikiran secara kritikal dalam budaya yang pelbagai.
     Menurut artikel ini, terdapat pelbagai pihak yang terlibat dalam menggunakan atau memanfaatkan kepelbagaian budaya dalam pengajaran matematik. Sumbangan pihak-pihak tersebut adalah sangat penting untuk memastikan kejayaaan pengajaran subjek yang berkesan dan adil di dalam kelas. Antara pihak yang terlibat ialah guru, penyelia dan pengggubal kurikulum, pihak pentadbir sekolah dan juga ibu bapa.  Secara kesimpulannya, pengintegrasian kepelbagaian budaya didalam pengajaran subjek matematik tidak hanya memberi manfaat kepada murid tetapi juga kepada guru dan keseluruhan masyarakat yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam P&P matematik. Pada pendapat saya, apabila gutu berjaya memahami latar belakang budaya murid yang pelbagai, mereka seharusnya berupaya mewujudkan satu pembelajaran matematik yang menyeronokkan tanpa menyentuh sensitiviti sesuatu budaya atau kaum.


Artikel 10: Klik di sini
Tajuk: INNOVATIONS IN TEACHING OF MATHEMATICS
By Rachna Patel

Kritikan:
     Elemen utama yang ditekankan dalam artikel ini ialah pengajaran matematik bukan sahaja tertumpu kepada kaedah untuk melakukan pengiraan tetapi apa yang lebih ditekankan ialah pemilihan kandungan matematik dan komunikasi sesuai yang boleh membawa kepada kefahaman murid-murid. Oleh itu, guru mesti berupaya mempelbagaikan keadah pengajaran, strategi dan sumber pedagogi yang boleh diguna pakai ketika P&P berjalan di dalam kelas.
     Artikel ini telah membincangkan pelbagai inovasi dan praktik inovatif yang boleh dilakukan oleh guru untuk mewujudkan satu suasana pembelajaran matematik yang memberangsangkan. Pertama, pelaksanaan strategi pembelajaran secara masteri. Ia sangat berguna dalam memastikan keberkesanan pembelajaran asas matematik. Kedua, kaedah penyampaian isi kandungan matematik di dalam kelas. Keadah yang dicadangkan di dalam artikel ini sangat berguna. Contohnya kaedah inducto-deduktif, analytico-synthetic, problem solving, play-way, dan laboratory method. Pendedahan yang diperoleh daripada pembacaan artikel ini sangat membantu guru kerana di malaysia kita lebih fokus untuk menggunakan kaedah penyelesaian masalah semata-mata.
     Ketiga ialah bahan pedagogi yang digunakan semasa P&P yang merangkumi penggunaan alat bantu mengajar (carta, manipulatif, komputer dan televisyen) dan aktiviti pengajaran yang bervariasi. Artikel ini juga tekah menyatakan garis panduan yang boleh digunakan oleh guru untuk menginovasikan pengajaran mereka supaya relevan dengan tahap pemikiran dan pembelajaran murid. Kesimpulannya, artikel ini sangat berguna kepada guru untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang interaktif, kondusif dan efektif, seiring dengan tuntutan persekitaran murid yang telah berubah mengikut peredaran zaman.


Artikel 9: Klik di sini
Tajuk: INTEGRATING ICT IN MATHEMATICS TEACHING METHODS COURSE: HOW HAS ICT CHANGED STUDENT TEACHERS’ PERCEPTION ABOUT PROBLEM SOLVING
By Shafia Abdul Rahman, Munirah Ghazali & Zurida Ismail, Universiti Sains Malaysia.

Kritikan:
     Pendekatan pengajaran penyelesaian masalah merupakan satu teknik pengajaran yang semakin popular dewasa kini. Artikel ini telah membincangkan mengenai isu guru pelatih subjek Matematik tidak mengajar proses dan teknik penyelesaian masalah sebagai satu bahagian penting proses pembelajaran di dalam kelas. Oleh itu, manfaat utama yang boleh diperoleh daripada pembacaan artikel ini ialah bagaimana untuk mengubah kepercayaan dan persepsi guru-guru pelatih tentang kaedah mengajar penyelesaian masalah supaya mereka boleh menjadi penyelesai masalah yang lebih baik untuk  diri mereka sendiri dan berupaya untuk menggalakkan murid untuk membangunkan pelbagai strategi penyelesaian masalah semasa sesi P&P.
     Artikel ini sangat berguna kerana ia berupaya mendedahkan guru pelatih kepada faedah penggunaan ICT dalam penyelesaian masalah matematik. Ini adalah kerana penggunaan ICT dapat meningkatkan perkembangan konsep matematik yang lebih meluas dikalangan murid. Selain itu, penggunaan teknologi dapat menjimatkan masa serta menyediakan akses yang lebih luas kepada murid untuk meneroka konsep-konsep matematik yang ingin diselesaikan. Selain daripada itu, artikel ini juga membincangkan mengenai sikap dan kebimbangan guru pelatih dalam penggunaan komputer dalam pengajaran penyelesaian masalah matematik. Persepsi ini harus diperbetulkan kerana penggunaan komputer yang efektif dalam memudahkan P&P dan menjadikannya lebih menarik serta menyeronokkan.
     Kepentingan yang diperolehi daripada pembacaan artikel ini ialah ia dapat memberi kesedaran kepada guru pelatih betapa mudahnya menjalankan pengajaran tajuk penyelesaian masalah matematik dengan pengintegrasian teknologi ICTdalam sistem pendidikan matematik. Ini adalah seiring dengan peranan ICT yang dipercayai dapat menyokong dan meningkatkan keupayaan guru pelatih melihat masalah dan merangka cara pengajaran penyelesaian masalah mengikut konteks pembelajaran alaf baru yang lebih berkesan.


Artikel 8: Klik di sini
Tajuk : TEACHING EFFICACY BELIEFS OF PRIMARY SCHOOL TEACHERS IN USING ENGLISH TO TEACH MATHEMATICS AND SCIENCE
By Kon Yoon How

Kritikan:
     Artikel ini sangat berguna untuk dijadikan sebangai panduan oleh guru Matematik kerana ia melibatkan satu kajian yang telah dilakukan untuk mengetahui sama ada Keberkesanan Pengajaran peribadi (PTE) atau Keberkesanan Pengajaran Am (GTE) dapat mempengaruhi dalam menentukan kepercayaan keberkesanan pengajaran guru. Kajian ini juga menunjukkan bahawa pencapaian akademik peribadi guru dalam bahasa Inggeris semasa di bangku sekolah tidak menyumbang dalam menentukan keberkesanan pengajaran guru-guru di dalam kelas.
     Artikel ini turut mengupas isu mengenai pelaksanaan ETeMS ke dalam sistem pendidikan di Malaysia. Seiring dengan pelaksanaannya, terdapat pelbagai reaksi positif dan negatif yang telah dibangkit oleh pihak guru khususnya. Secara tidak langsung terhadap pertikaian terhadap tahap keberkesanan pengajaran subjek matematik oleh guru apabila mereka menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium pengajaran. Terdapat beberapa isu yang ingin diutarakan didalam artikel ini. Pertama, apakah tahap kepercayaan keberkesanan guru-guru dalam menggunakan bahasa Inggeris semasa pengajaran subjek Matematik?. Kedua, adakah Keberkesanan Pengajaran peribadi (PTE) atau Keberkesanan Pengajaran Am (GTE) dapat memberi pengaruh dalam keberkesanan pengajaran guru?. Ketiga, adakah kepercayaan keberkesanan guru Matematik dipengaruhi oleh pencapai mereka dalam ujian MCE atau peperiksaan SPM?
     Pada pendapat saya, kupasan isu-isu ini telah berjaya membuka minda saya bahawa keberkesanan penggunaan bahasa Inggeris dikalangan guru Matematik tidak dipengaruhi oleh pencapai akademik mereka yang terdahulu. Dengan adanya minat dan kemampuan mereka untuk cuba memperbaiki kelemahan mereka berkomunikasi menggunakan bahasa Inggeris, ia berupaya meningkatkan keberkesanan pengajaran mereka di dalam kelas.


Artikel 7: Klik di sini
Tajuk : TEACHERS PERSPECTIVE OF USING ENGLISH AS A MEDIUM OF INSTRUCTION IN MATHEMATICS AND SCIENCE SUBJECTS
By Norudin Mansor, Mohamed Ishak Badarudin & Azman Che Mat,  Universiti Teknologi MARA, Academy of Language Studies, Malaysia

Kritikan:
     Artikel ini menjurus kepada perspektif guru dalam menggunakan Bahasa Inggeris sebagai medium pengajaran subjek Matematik dan Sains. Matlamat utama artikel ini ialah untuk mengkaji perspektif guru yang tinggi terhadap prestasi murid selepas pelaksanaan Matematik dan Sains mata pelajaran dalam Bahasa Inggeris untuk sekolah rendah dan menengah.
     Kesimpulannya, kepentingan artikel ini ialah ia dapat memberi gambaran tentang bagaimana guru boleh memahami kekuatan antara teknik pengajaran, sikap guru serta murid dan persekitaran pembelajaran yang mempunyai kaitan yang  ketara ke arah meningkatkan prestasi murid di sekolah.


Artikel 6: Klik di sini
Tajuk: Students’ Perception On Teaching And Learning Mathematics In English
By Aziz bin Nordin, Faculty of Education, Universiti Teknologi Malaysia

Kritikan:
     Artikel ini membincangkan kepentingan komunikasi berkesan untuk memahami konsep matematik yang diajar di dalam kelas. Kelebihan artikel ini ialah ia membincangkan mengenai senario dan gamabaran sebenar semasa pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran subjek sains dan matemetik dalam bahasa Inggeris di sekolah-sekolah. Ia juga menyatakan bahawa pelajar bersetuju penggunaan bahasa Inggeris sangat berguna terutama untuk mendapat peluang kerjaya yang lebih cerah. Walau bagaimanapun, penggunaannya dalam pengajaran subjek Matematik telah menjadikan sesi P&P menjadi amat sukar dan mencabar. Faktor utama yang dikenalpasti didalam artikel ini ialah kekurangan keupayaan murid dalam memahami arahan serta perkara yang di ajar menggunakan bahasa Inggeris.
     Umum telah mengetahui bahawa pengajaran subjek matematik itu sendiri adalah susah. Oleh itu, dengan adanya tambahan penggunaan bahasa Inggeris dalam sesi pengajaran sedikit sebanyak telah menyebabkan murid-murid menganggap kurikulum matematik tidak relevan dengan kehidupan seharian mereka, guru matematik mereka tidak berminat dalam mata pelajaran yang diajar serta tidak membantu murid dan kekurangan bahan bacaan di sekolah dan di rumah.
     Terdapat beberapa faktor yang telah dikenalpasti menyumbang kepada persepsi murid dalam pembelajaran matematik menggunakan bahasa Inggeris. Pertama, latar belakang murid serta masalah dalam pembelajaran matematik dalam bahasa Inggeris. Kedua, minat murid dalam mempelajari subjek Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris serring berkait rapat. Ketiga, tahap kefahaman murid dalam subjek Matematik dan Sains menggunakan bahasa Inggeris sebangai medium pengajaran. Keempat, sikap pelajar dalam memperkasakan penggunaan bahasa Inggeris dalam pembelajaran dan kehidupan seharian. Kelima, korelasi antara prestasi pencapaian pelajar dalam ujian Bahasa Inggeris, Matematik dan mata pelajaran Sains.
     Pada pendapat saya, artikel ini sangat berguna kepada guru-guru subjek matematik. Ini adalah kerana sesi P&P subjek matematik akan jadi lebih menyeronokkan sekiranya kita berjaya mengenalspasti dan menanganii kesemua lima faktor yang telah diterangkan di dalam artikel ini. Sedikit sebanyak ia juga dapat dijadikan sebagai panduan untuk membantu guru mewujudkan suasana pengajaran yang lebih kondusif serta relevan dengan kehendak murid.


Artikel 5: Klik di sini
Tajuk: Preservice Teachers’ Anxieties in Using English to Teach Mathematics: An Exploratory Case Study
By Cheah Ui Hock, Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang.

Kritikan:
     Artikel ini memfokuskan kepada kerisauan bakal guru untuk mengajar subjek Matematik menggunakan Bahasa Inggeris. Antara isu yang ditekankan dalam artikel ini ialah pengunaan bahasa sering dikaitkan dengan kesukaran untuk pengajaran dan pembelajaran subjek Matematik. Ini adalah kerana Matematik lebih dominan dengan penggunaan simbol dan angka berbanding dengan penggunaan bahasa untuk menyampaikan ilmu matematik kepada murid. Tambahan pula dengan adanya soalan penyelesaian masalah dalam bentuk ayat matematik menjadikan pengajaran matematik menggunakan Bahasa Inggeris menjadi semakin sukar.
     Bagi perspektif murid pula, pengajaran matematik menggunakan bahasa kedua menyebabkan pengajaran matematik oleh guru menjadi kurang berkesan. Terdapat bukti yang menunjukkan bahawa kekurangan penguasaan bahasa secara tidak langsung telah menjadi kekangan dalam pembelajaran matematik. Oleh itu segelintir pendidik telah mencadangkan bahawa pelajar yang tidak fasih berbahasa Inggeris kurang menunjukkan kemajuan dalam pembelajaran matematik. Selain itu, faktor guru yang tidak boleh bertutur dengan baik juga turut menyumbang kepada ketakutan murid untuk mempelajari subjek matematik.
     Artikel ini turut membincangkan mengenai sistem pendidikan di Malaysia kini yang menekankan kepada komunikasi. Ia dibuktikan bahawa penguasaan dalam bahasa pengantar boleh mempengaruhi pembelajaran matematik kerana bahasa adalah asas komunikasi. Walau bagaimanapun, komunikasi dalam matematik tidak memberi tumpuan hanya kepada bahasa pengantar, tetapi pada bahasa matematik. Hasil daripada kajian yang dijalankan telah mendedahkan bahawa penggunaan bahasa Inggeris sebagai medium pengantaraan dalam pengajaran subjek matematik telah menjadi satu ketakutan kepada bakal guru. Antara kebimbangan mereka ialah takut menyebut perkataan yang salah, kurang fasih dalam pertuturan serta kurang perbendaharaan kata dalam bahasa Inggeris. Pada pendapat saya, hasil kajian ini sangat berguna untuk dijadikan panduan oleh bakal guru sebagai persediaan sebelum menghadapi alam pekerjaan.
     Terdapat beberapa cadangan untuk mengatasi masalah ketakutan dalam mengajar Matematik antaranya ialah meningkatkan penggunaan kamus serta terminology berkaitan matematik dalam P&P. Selain itu, mereka boleh meningkatkan tahap pembacaan ilmiah mereka seperti membaca surat khabar dan novel. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa terdapat pelbagai pendekatan yang boleh digunakan untuk mengatasi masalah ketakutan Matematik dikalangan bakal guru.


Artikel 4: Klik di sini
Tajuk: The L2 as Language of Instruction: Teachers Explore the Competing Tensions
By Anne Edstrom, Montclair State University

Kritikan:
     L2 merujuk kepada bahasa kedua yang bukan merupakan bahasa ibunda murid. Namun, bahasa kedua kini semakin banyak digunakan dalam bidang pendidikan terutamanya dalam pengajaran subjek Matematik.  Menurut artikel ini, sebilangan besar pendidik menyokong penggunaan L2 di pengajaran teori di dalam P&P. Walau bagaimanapun, terdapat pelbagai cabaran yang perlu ditempuhi oleh guru dan murid untuk melaksanakan penggunaan bahasa kedua di dalam kelas dan amalan harian mereka.
     Penggunaan bahasa kedua (L2) adalah sesuatu yang realistik dalam pengajaran Matematik walaupun pelaksanaannya agak sukar. Cabaran dari perspektif guru, terutamanya guru baru ialah kurangnya tahap keyakinan serta tidak didorong oleh piawai professional. Ini menyebabkan peratus penggunaan bahasa kedua ketika P&P adalah sangat kurang. Selain itu, guru juga perlu memastikan arahan yang diberikan menggunakan bahasa kedua difahami oleh murid. Artikel ini turut mencadangkan supaya guru tidak sewenang-wenangnya menggunakan bahasa kedua tanpa mengenalpasti perkataan yang akan ditutur. Guru mestilah bijak menggunakan sumber lisan dan teknik komunikasi lain untuk memperkenalkan perbendahraan kata yang telah disebut untuk memastikan bahasa kedua yang dituturkan didalam kelas difahami oleh semua murid.
     Pada pendapat saya, artikel ini sangat berguna untuk memotivasikan guru untuk bertutur menggunakan bahasa kedua (Bahasa Inggeris) semasa P&P. Walaupun dasar pengajaran subjek Matematik dan Sains tidak lagi memerlukan guru untuk mengajar menggunakan bahasa kedua, tetapi penggunannya dapat membantu guru dan murid menambah perbendaharaan kata sekaligus meningkatkan tahap kecekapan komunikasi mereka.


Artikel 3: Klik di sini
Tajuk: Looking Critically at Teachers’ Attention to Equity in their Classrooms
By R. Judith Reed & Nicholas Oppong

Kritikan:
     Artikel ini lebih tertumpu untuk membincangkan takrifan ekuiti dan bagaimana untuk mewujudkannya di dalam bilik darjah. Turut diselitkan di dalam artikel ini ialah bagaimana isu kaum dan status sosio ekonomi murid dapat mengganggu usaha guru dalam mewujudkan ekuiti kepada semua murid tanpa adanya sebarang diskriminasi.
     Isu ketidakseimbangan ekuiti di dalam bilik darjah semakin membimbangkan. Oleh yang demikian, guru perlu mempunyai kefahaman yang lebih mendalam untuk memahami bagaimana bangsa, kelas, dan gender murid saling berkaitan dengan amalan harian pengajaran di sekolah. Guru juga seharusnya lebih sensitif dengan kepelbagaian yang wujud didalam kelas mereka. Ini adalah kerana semua aspek ini sedikit sebanyak dapat menyumbang kepada implikasi kejayaan murid dalam pembelajaran mereka.


Artikel 2: Klik di sini
Tajuk: Equity in the Classroom
By Joseph DiMartino and Sherri Miles

Kritikan:
     Artikel ini ada membincangkan mengenai kepelbagaian tahap pembelajaran murid di dalam satu kelas. Murid yang dianggap pandai akan dimasukkan ke kelas hadapan manakala murid yang dianggap kurang pandai akan dimasukkan ke kelas yang sederhana ataupun kurang mencabar. Ini telah menimbulkan isu ketidaksamaan dalam pendidikan di Malaysia kerana anggapan yang dibuat ini.
     Walau bagaimanapun, guru-guru mempunyai alasan yang kukuh untuk mengekalkan tanggapan untuk meletakkan murid berdasarkan tahap kepandaian mereka. Pertama, ia mewujudkan kecekapan dan kemudahan bagi guru-guru untuk menguruskan kelas. Kedua, dipercayai bahawa murid akan belajar dengan lebih baik dan berasa lebih positif mengenai diri mereka. Akhir sekali, tindakan ini dapat mengurangkan rasa kegagalan untuk murid-murid yang lebih perlahan.
     Terdapat juga pendapat yang mengatakan bahawa murid tidak sepatutnya di kelaskan mengikut tahap pencapaian mereka. Mereka berpendapat bahawa semua murid mempunyai hak yang sama untuk belajar di kelas yang sama tanpa sebarang diskriminasi.  Kaedah mengelaskan murid secara sama adil dikenali sebagai kumpulan heterogen telah popular dikalangan sebilangan pendidik kerana mereka bertanggapan bahawa situasi ini mampu mewujudkan keadilan di kalangan guru. Ia juga berupaya untuk  menempatkan setiap pelajar dalam kelas yang mencabar.
     Artikel ini juga turut mengetengahkan idea untuk memperkenalkan pengelasan murid secara heterogen tetapi menggunakan pendekatan arahan yang pelbagai, mengikut tahap murid yang berbeza-beza. Selain itu pendekatan stail pembelajaran yang pelbagai juga perlu diperkenalkan supaya tiada murid yang ketinggalan. Satu lagi yang turut dititikberatkan ialah penilaian secara holistik dan meliputi pelbagai aspek pembelajaran. Kriteria yang penting ialah penilaian ini mesti membolehkan murid  untuk menunjukkan bahawa mereka telah memenuhi standard yang tinggi melalui penggunaan penilaian yang lebih tepat daripada jenis peperiksaan yang tipikal.
     Pada pendapat saya, kaedah mewujudkan kumpulan heterogen ini agak sukar dilaksanakan dalam sistem pendidikan di Malaysia kerana kekurangan guru yang berpengalaman untuk memenuhi kriteria- kriteria yang diperlukan walaupun keadah ini mampu mewujudkan ketaksamaan dalam pendidikan murid di sekolah rendah.


Artikel 1: Klik di sini
Tajuk: Beyond Access and Achievement: Equity Issues for Mathematics Teachers and Leaders.
NCTM News Bulletin (October 2008) by Rochelle GutiƩrrez, Jennifer Bay-Williams, and Timothy D. Kanold.

Kritikan:
     Menurut artikel ini, akses dan ekuiti dalam bidang pendidikan semakin meluas dan tidak hanya mencakupi aspek sekolah-sekolah di wilayah khas serta peratus kemiskinan yang tinggi semata-mata. Dengan adanya perkembangan yang pesat dalam sistem pendidikan di Malaysia, isu akses dan ekuiti lebih ditekankan kepada empat aspek utaman iaitu akses, pencapaian, identiti dan kuasa.
     Aspek pertama ialah akses untuk guru dan pelajar. Pada pendapat saya, ini adalah elemen yang paling penting dalam bidang pendidikan kerana guru adalah tonggak utama yang boleh memacu sistem pendidikan di negara kita. Oleh yang demikian, sewajarnya guru didedahkan dengan akses professional supaya dapat membantu meningkatkan kemahiran dan kecekapan mereka dalam menjalakan aktiviti pengajaran di dalam kelas. Manakala akses pendidikan yang adil dan saksama juga harus ditekankan kepada murid supaya mereka berupaya mendapat bekalan yang mencukupi dari segi penggunaan teknologi, kurikulum yang terkawal, pesekitaran pembelajaran yang kondusif serta infrastuktur yang cukup untuk pembelajaran di luar bilik darjah.
     Aspek yang kedua pula ialah pencapaian yang sama oleh guru dan murid. Aspek ini memerlukan persepaduan antara kedua-dua pihak yang terlibat kerana ia tidak hanya memusatkan kepada pencapaian akademik semata-mata. Pencapaian yang cemerlang seharusnya mencakupi penglibatan di dalam kelas, corak pengambilan kursus oleh murid serta corak pembangunan professional guru.
     Aspek yang ketiga pula ialah identiti yang lebih bertumpu kepada budaya guru dan murid. Ciri-ciri budaya sememangnya tidak dapat dipisahkan dengan aktiviti pengajaran dan pembelajaran kerana ia sering berkait rapat. Oleh itu, isu budaya yang ditumbulkan oleh murid di dalam kelas perlu ditangani dengan hemat oleh guru supaya dapat mencegah sesi P&P berjalan dengan lancar seterusnya menganngu sistem pendidikan kebangsaan. Antara isu budaya yang sering dikenal pasti di dalam kelas ialah isu bahasa pertuturan (dialek) dan cara pembelajaran algoritma matematik yang berbeza bagi setiap bangsa.
     Aspek terakhir yang perlu ditekankan ialah kuasa. Dewasa kini, telahpun berlaku satu transformasi sosial di dalam bilik darjah, sekolah dan negara. Oleh itu, perlu ada satu mekanisme di wujudkan didalam bilik darjah supaya terdapat pembahagian kuasa yang adil antara guru dan murid. Guru seharusnya dapat mewujudkan perasaan hormat dikalangan murid kepada mereka walaupun guru merupakan kuasa utama dalam sesi P&P. Walaubagaimanapun, guru perlu memberi kuasa kepada murid untuk menyatakan pandangan mereka sendiri. Tolak ansur antara guru dan murid adalah sangat penting untuk memastikan kesejahteraan bersama.