twitter

Pembentangan - 6 April 2012


Peter Gates (2001)  dalam bukunya bertajuk  “Issues in Mathematics Teaching”  mengatakan bahawa, untuk memastikan pemikiran pelajar dicungkil dan aplikasi matematik, sistem penilaian  perlu menyertakan bentuk penilaian yang boleh menilai kebolehan tersebut. Dengan memberikan pelbagai jenis pentaksiran juga mampu untuk memberi peluang kepada belajar supaya lebih seronok dan merasa konfiden dalam matematik dan akan terus belajar dalam suasana yang menyeronokkan dan akan sentiasa berusaha untuk menggunakan pelbagai kemahiran berbanding dengan ketidak seronokan dan kebosanan semasa belajar. Oleh itu Penilaian berasaskan sekolah adalah satu langkah bijak dalam mengurangkan kebergantungan kepada peperiksaan awam.

Perubahan perlu dilakukan  terhadap sistem pentaksiran kerana kurikulum perlu memenuhi permintaan baru yang sentiasa berubah dan berbeza secara signifikan. Sehubungan dengan itu, kebanyakan pentaksiran yang sedia ada tidak dapat mengukur hasil sebenar pelajar mengikut standard yang dikenalpasti. (NCTM, 1989, p. 189; O'Neil, 1992; Porter, 1990). Walaubagaimanapun setiap perubahan pasti mengundang polemik atau isu di kalangan masyarakat oleh itu pemahaman yang jelas tentang sesuatu transformasi amat penting kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dan memerlukan kerjasama dan penglibatan semua dalam menangani isu-isu yang sentiasa berterusan.


Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS)

Selaras dengan pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP), Kementerian Pendidikan Malaysia telah merangka sistem penilaian prestasi pelajar berasaskan sekolah bagi mengatasi sistem pendidikan kini yang berorientasikan peperiksaan. Transformasi pendidikan yang telah dilaksanakan mulai 2010 adalah melalui pelaksanaan sistem penilaian pelajar berasaskan sekolah bagi mengatasi system pendidikan kini yang berorientasikan peperiksaan.

Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) merupakan satu bentuk pentaksiran yang dilaksanakan di sekolah. Ianya dirancang, ditadbir, diskor dan dilaporkan secara terancang mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM). Walaupun PBS merupakan satu langkah penyelesaian untuk mengatasi msalah penilaian matematik di Malaysia, namun masih terdapat beberapa isu yang perlu diperbaiki

Isu pertama:  Kepimpinan Guru Besar
Guru Besar merupakan ketua dalam sesuatu organisasi sekolah yang perlu mengendali sekolah dengan bijak. Namun demikian, masih terdapat segelintir guru besar yang tidak mengetahui ilmu dalam bidang pentaksiran termasuklah prinsip asas dalam pentaksiran pendidikan, pengendalian, penentuan standard dan penggunaan hasil pentaksiran. Ini menyebabkan guru besar kurang memberi kerjasama kepada guru dalam menjalankan PBS di sekolah. Contohnya, guru besar tidak menyediakan bajet yang secukupnya untuk membeli file murid.
   
Terdapat juga guru besar yang terpengaruh dengan politik yang sedikit sebanyak telah mempengaruhi bidang pendidikan dan professionalisme mereka. Yusof & Mohd Musa (2011), menyatakan bahawa guru besar tidak seharusnya turut terikut-ikut oleh emosi sesetengah pihak yang menghentam tanpa usul periksa institusi pendidikan negara termasuk institusi pentaksiran. Mereka seharusnya merujuk pekeliling dan prosedur serta menggunakan kebijaksanaan yang berasaskan ilmu dan bacaan dalam bidang berkaitan.

Isu Kedua: Peranan Guru
Guru akedemik juga memainkan peranan yang penting dalam memastikan sistem penilaian yang berkesan di Malaysia. Semenjak PBS diperkenalkan di sekolah, terdapat pelbagai reaksi yang telah diberikan oleh guru. Menurut kajian yang dilakukan oleh Gan (2000), kebanyakan guru merasakan perubahan pendidikan telah meningkatkan beban kerja mereka. Guru bukan saja perlu mengajar tetapi juga melakukan kerja-kerja pentadbiran dan kokurikulum. Guru juga perlu mentaksir dan mengajar dalam masa yang sama. Ini adalah kerana mengikut sistem PBS, penilaian dan pengajaran matematik akan berlaku pada masa yang sama untuk sepanjang tahun.

Tan (2010) dalam kajiannya pula menyatakan bahawa PBS menambah beban tugas guru di sekolah yang memang telah dibebani dengan tugas-tugas pentadbiran dan kokurikulum. Ini menyebabkan guru melaksanakan pentaksiran sebagai satu produk dan bukan sebagai satu proses.  Terdapat guru yang kurang pemahaman terhadap dasar dan konsep pentaksiran. Ini adalah kerana mereka mungkin tidak dipanggil mengikuti kursus PBS tetapi telah diminta oleh pihak sekolah melakukan penilaian secara PBS. Selain daripada itu, ramai guru yang bukan opsyen mengajar subjek Matematik. Keadaan ini secara tidak langsung telah menyebabkan kompetensi guru tersebut sebagai pembimbing dan pemudahcara melaksanakan pentaksiran di dalam bilik darjah sering dipersoal kerana kurang profesional.

Isu Ketiga: Batasan atau Kekangan
Terdapat beberapa batasan dalam melaksanakan PBS di sekolah. Pertama, ialah kekangan masa. Penilaian secara PBS memerlukan jangka masa yang panjang kerana ia berlaku sepanjang tahun dan secara berterusan. Ini sangat berbeza dengan sistem penilaian berorientasiakan peperiksaan bertulis yang hanya dijalankan sekurang-kurangnya dua tahun sekali sahaja.

Kedua, ialah tahap kebolehpercayaan yang rendah. Keadaan ini merujuk kepada ketekalan (consistency) alat pengukur dalam mengukur aspek yang hendak diukur (Xu, 2003). Apabila guru-guru diberi kebebasan untuk melakukan penilaian secara sendiri, terdapat kemungkinan instrumen yang dihasilkan oleh guru bukan opsyen yang mengajar matematik tidak memenuhi ciri-ciri yang ditetapkan. Secara tidak langsung, ini menyebabkan penilaian terhadap murid-murid tidak begitu berkesan.

Batasan yang ketiga pula ialah, teknikal dan professional. Seperti yang kita semua tahu, PBS adalah satu cara penilaian yang masih baru. Ada sesetengah guru tidak begitu mahir dalam membentuk instrumen dalam penilaian. Jadi, latihan yang secukupnya perlu diberi kepada semua guru matematik yang terlibat.

Isu Keempat: Bias dalam Penilaian
Dua aspek yang boleh menyumbang kepada bias dalam penilaian. Pertama ialah bias dari segi pemerhatian. Permerhatian guru adalah subjektif dan terdapat perbezaan antara pemerhatian setiap guru. Hasilnya, guru sukar membezakan pelajar yang berpura-pura faham  dan benar-benar faham. Selain itu, guru hanya menilai apa yang nampak pada mata kasar sahaja.

Kedua ialah bias dari segi lisan. Dalam sesetengah kelas, ada pelajar yang kurang memberi respon apabila ditanya dan keadaan ini menyebabkan penilaian sukar dilakukan oleh guru. selain itu, soalan dijawab beramai-ramai menyebabkan guru sukar menentukan kefahaman individu murid.


Penekanan terhadap ilmu, sahsiah dan penerapan nilai, kadang kala menjadi perkara nombor dua untuk dicapai. Matlamat paling utama, pelajar mesti lulus peperiksaan UPSR dan PMR dan mendapat keputusan yang cemerlang. Banyak program sokongan yang dilaksanakan atau dianjurkan oleh Kementerian dan Jabatan Pelajaran lebih menjurus kepada usaha melahirkan pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan dan bukannya cemerlang secara menyeluruh.

Akibat daripada itu, timbul pelbagai tekanan dan beban kepada pelajar terutamanya untuk lulus cemerlang dalam peperiksaan. Tekanan yang dimaksudkan itu mungkin datang daripada guru, ibu bapa, rakan sekolah atau diri sendiri. Selain itu, pendidikan berorientasikan peperiksaan juga turut memberi tekanan kepada guru-guru untuk melaksanakan pelbagai program yang dirancang oleh Kementerian/Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah dan program sekolah masing-masing.



1. Sikap Pentadbir

Sikap pentadbir yang berlumba-lumba untuk mencapai target kecemerlangan menyebabkan semua program bertunjangkan akademik.  Keputusan peperiksaan terlalu dititikberatkan, kebanyakan sekolah akan memberi sumber daya yang lebih banyak kepada pelajar yang berprestasi tinggi, akibatnya pelajar yang kurang maju diabaikan. Program-program diberi keutamaan kepada murid-murid yang cemerlang. Peluang-peluang dan hadiah penghargaan atau pencapaain selalu dianugerahkan kepada pelajar yang berjaya mencapai kecemerlangan manakala golongan yang mendapat markah yang rendah atau tidak lulus, akan terabai. Masalah golongan yang diabaikan ini menjadi semakin teruk, menyebabkan peratusan yang tinggi untuk berhenti sekolah apabila sampai pada peringkat sekolah menengah.

Di samping itu, pihak pentadbiran pendidikan yang terlalu mengikut birokrasi yang mementingkan keuntungan dan keputusan prestasi sendiri pula akan menjadikan peperiksaan  sebagai alat pengurusan utama mereka untuk menguasai pengetua dan guru-guru di sekolah. Pelbagai program seperti  kursus, latihan dan bengkel  Matematik  ditawarkan kepada sekolah-sekolah dan menjanjikan imbuhan kepada sekolah yang membenarkan mereka berhubungan dengan pelajar.  Hal ini menyebabkan sesetengah pentadbir menerima sahaja tanpa memikirkan kualiti bahan yang ingin disampaikan.

2. Faktor Guru

Faktor guru juga mempengaruhi  sistem pentaksiran dan peperiksaan di sekolah. Pendekatan pengajaran yang digunakan oleh sebahagian guru yang menjurus kearah peperiksaan menyebabkan mereka berlumba-lumba untuk menghabiskan sukatan pelajaran tanpa mengambil kira penguasaan murid dalam sesuatu tajuk. Dewasa ini, biarpun banyak pendedahan, pedagogi dan pendekatan yang pelbagai tetapi guru sering mengamalkan konsep “talk and chalk” sahaja. Contohnya, penekanan terhadap ICT yang pastinya boleh meningkatkan tahap penguasaan murid, diabaikan kerana bimbang murid tidak habis belajar. Tekanan kepada peperiksaan menyebabkan guru mengharapkan jawapan akhir dan bukannya proses pembelajaran itu sendiri.

Selain itu, peperiksaan juga biasanya dibentuk dalam format tertentu yang lebih kepada soalan tertutup seperti soalan yang meminta jawapan akhir. Proses berfikir jarang dimuatkan dalam soalan. Contohnya dalam tajuk pentafsiran data yang diwakilkan oleh graf bar, biasanya soalan tertumpu kepada jawapan yang tepat dan jarang sekali kita jumpa soalan terbuka. Guru-guru selalu memberi soalan yang memerlukan pengiraan bagi mendapat sesuatu maklumat seperti berapakah tetapi tidak menggunakan soalan bagaimanakah atau mengapakah yang mana memerlukan kemahiran analisis, sintesis dan berfikir kreatif dan kritis. Hal ini akan menyebabkan pelajar-pelajar hanya akan menghafal cara atau proses untuk mendapatkan jawapan. Akhirnya mereka tidak berkemampuan untuk menyelesaikan masalah kehidupan kerana tidak tahu berfikir. Sistem pendidikan yang sedia ada telah membazirkan banyak sumber pendidikan, justeru tidak efektif dalam pembentukan bakat professional yang sanggup dan mampu menghadapi cabaran globalisasi abad ke 21.

3. Pengaruh ibu bapa

Pendidikan yang berorientasikan peperiksaan turut menyusahkan mereka yang kurang berpendapatan atau golongan yang miskin. Menurut Coleman report, 1966, kebanyakan keputusan pengajian pendidikan menunjukkan bahawa latar belakang dan keadaan sosio-ekonomi keluarga seseorang pelajar ada kaitan yang rapat dengan keputusan peperiksaannya. Malahan faktor keluarga  lebih mempengaruhi pelajar jika dibanding dengan faktor lain. Contohnya, biasa dilihat bahawa pencapaian yang tinggi biasanya dicapai oleh orang yang berada dan  pelajar yang lemah biasanya datang dari golongan berpendapatan rendah. Ainsworth ( dalam hazil 1990 : halaman 10 ) mendapati bahawa latar belakang kediaman merupakan satu faktor utama yang mempengaruhi pencapaian dan pendidikan sehinggalah ke peringkat umur berhenti sekolah. Manakala menurut Manja (1990 ) ibu bapa dari kelas sosioekonomi y ang tinggi biasanya mempunyai latar belakang pendidikan yang baik.

Oleh kerana sistem pendidikan kita berorientasikan peperiksaan, maka ibu bapa juga berlumba-lumba untuk memastikan anak-anak mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Mereka sanggup menghabiskan banyak wang untuk membiayai kelas-kelas tusyen atau menyediakan kemudahan belajar. Pengharapan yang terlalu tinggi terhadap anak-anak boleh menyebabkan tekanan kepada anak mereka tanpa disedari. Kerana itu tidak hairanlah kalau kita pernah mendengar kejadiaan bunuh diri, lari daripada rumah atau terlibat dengan gejala negatif akibat pengaruh rakan-rakan. Anak-anak akan merasa tertekan dengan harapan-harapan dan desakan para ibu bapa sedangkan pada masa yang sama mereka tidak mampu atau tidak berminat untuk memenuhinya.


Antara kelemahan yang dinyatakan oleh Wang (2000) dipetik daripada Daliyanie Mat Saaid (2011), pelajar seolah-olah dibentuk melalui ‘mesin’ (kurikulum). Kaedah pembelajaran ini menjadikan pelajar sebagai produk yang dibentuk dan pembelajaran akan berlaku secara terpaksa. Maka, ia tidak akan membantu pelajar dalam membentuk keyakinan diri. Kelemahan lain yang turut dinyatakan ialah penekanan pembelajaran yang lebih tertumpu kepada buku sebagai bahan rujukan kedua selepas guru. Pelajar akan menumpukan kepada konsep-konsep yang dipelajari dan terhad untuk mengatasi masalah tertentu sahaja. Kaedah ini menjadikan pembelajaran tidak disepadukan dengan dunia luar dan tidak mempedulikan isu-isu semasa. Dengan ini, pelajar akan menggunakan kaedah latih tubi dalam menguasai konsep matematik untuk cemerlang dalam peperiksaan.

Untuk menguasai ilmu matematik, pelajar seharusnya menguasai isi kandungan matapelajaran dan didedahkan kepada kemahiran dan strategi penyelesaian matematik yang luas. Seperti yang dinyatakan oleh Johari Hassan & Yeong (2010), "Ketrampilan isi kandungan adalah perlu tetapi bukan wajib untuk penyelesaian masalah, sebaliknya pengalaman dan pendedahan kepada kemahiran dan strategi penyelesaian masalah mungkin adalah faktor yang lebih penting." Namun begitu, masih ramai guru yang hanya memberi tumpuan kepada kandungan sukatan matapelajaran matematik dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Ini dapat dibuktikan melalui kajian yang dilakukan oleh Lim dan Zhao pada tahun 2005 bertajuk: Assessment and Examination System: A Comparative Study between Malaysia and Shanghai (China), di mana menyatakan terdapat beberapa faktor yang menyebabkan prestasi pelajar dalam matapelajaran matematik di China lebih baik daripada di Malaysia walaupun terdapat banyak persamaan di antara sistem peperiksaan di kedua-dua negara ini. Antara faktor tersebut ialah ketinggian tahap kandungan pengajaran di negara China.

Menurut mereka, di China, guru matematik cenderung untuk mengajar lebih daripada apa kandungan kurikulum yang diperlukan. Kandungan matapelajaran yang diajar oleh guru adalah lebih sukar berbanding buku teks sekolah dan kurikulum yang dirancang dan mereka percaya jika pelajar-pelajar diajar lebih daripada kandungan yang disediakan ia akan membawa kepada skor yang lebih baik dalam peperiksaan. Akan tetapi, di Malaysia, seperti yang dinyatakan dalam kajian yang sama, guru-guru hanya mengajar kandungan yang ditetapkan oleh sukatan pelajaran walaupun kandungan yang dinyatakan bertujuan untuk mencapai kecekapan minimum. Malah, sesetengah guru mungkin memilih untuk mengorbankan beberapa kandungan atau topik-topik di mana mereka merasakan terlalu sukar untuk pelajar-pelajar mereka dan mereka hanya menumpu pada topik yang terhad untuk memastikan pelajar-pelajar mereka boleh menguasai topik-topik ini dan seterusnya lulus dalam peperiksaan.

Jika pelajar-pelajar didedahkan dengan kemahiran dan strategi penyelesaian masalah selain yang terdapat dalam sukatan matapelajaran yang ditetapkan, mereka akan lebih cemerlang tanpa perlu memberi penekanan terhadap bentuk soalan peperiksaan dan latih tubi. Penilaian pada asalnya mempunyai kepentingan dalam meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Namun begitu, satu budaya yang terlalu berorientasikan peperiksaan mungkin mencipta kesan negatif ke atas pencapaian pelajar.


Umumnya, penilaian dilakukan atas dua objektif utama iaitu untuk membantu pembelajaran dan untuk memperbaiki pengajaran. Walaupun penilaian adalah penting bagi menentukan keberkesanan suatu proses pengajaran dan pembelajaran seperti yang disebutkan, ia juga akan bertukar menjadi sesuatu yang negatif jika kaedah perlaksanaannya tidak tepat. Terdapat beberapa isu yang sering diutarakan mengenai sistem penilaian berkaitan dengan prestasi murid-murid di sekolah. Sebagai contoh, masih ramai guru yang menganggap penilaian adalah suatu proses untuk memilih dan mengasingkan pelajar sahaja, murid-murid pula menganggap mereka dikehendaki belajar untuk menghadapi peperiksaan. Maka, terjadilah proses pengajaran dan pembelajaran yang memberi tumpuan kepada peperiksaan. Ini bermaksud, murid-murid meletakkan tujuan belajar untuk lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan, manakala guru-guru pula menjalankan rutin mengajar dengan memberi fokus kepada soalan peperiksaan.

Matapelajaran matematik khususnya, murid-murid di sekolah telah terbiasa dengan kaedah pembelajaran secara latih tubi untuk cemerlang dalam peperiksaan. Ini kerana mereka telah sedia maklum bahawa matapelajaran ini sangat penting untuk dikuasai terutamanya untuk yang bercita-cita untuk menyambung pelajaran dalam bidang sains dan teknologi. Pendapat ini disokong oleh Nadzri Mohamed, Jamri Awang Besar, & Norhasliza Ahmad (2006) dan mereka menyatakan dalam kajian mereka mengenai pendapat umum dalam bidang pendidikan matematik iaitu: “Lulus dengan cemerlang dalam matematik menjadi syarat bagi para pelajar untuk ke tingkatan empat di sekolah berasrama penuh. Selepas menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kelulusan dalam matematik sekali lagi menjadi jaminan untuk melanjutkan pelajaran ke universiti dan pusat pengajian tinggi dalam kebanyakan bidang pengajian.” Maka, tidak hairanlah pada hari ini kebanyakan guru mengambil langkah untuk menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran berdasarkan peperiksaan kerana ia juga menjadi kehendak murid-murid dan ibu bapa.

Isu pengajaran dan pembelajaran berdasarkan peperiksaan boleh dibincangkan melalui dua keadaan: pertama, bentuk soalan peperiksaan kebiasaannya dilatih dalam bilik darjah; dan yang kedua, kebanyakan guru hanya menumpu kepada kandungan matapelajaran matematik dalam sukatan pelajaran yang disediakan. Bagi guru-guru, matapelajaran matematik diajar seperti ia adalah hanya ilmu kira-kira, kebolehan menggunakan rumus-rumus penghafalan dan latih tubi untuk cemerlang dalam peperiksaan. Kenyataan ini turut disokong oleh Zaleha Ismail & Arinah Zaidan (2010) dan di dalam laporan kajian yang sama mereka memetik kata-kata Peter Grootenboer (2004), “Kaedah ini (pengajaran dan pembelajaran berdasarkan peperiksaan) dikatakan lebih senang dan tidak perlu menyediakan bahan bantu mengajar. Namun pengajaran seperti ini tidak dapat menggalakkan pelajar untuk mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat.” Ini bermakna, kaedah ini mudah untuk dipraktikkan tetapi akan merugikan para pelajar kerana terdapat beberapa kelemahan.


Dalam dunia pendidikan, penilaian sistematik untuk mengukur dan menilai prestasi pelajar akan membantu guru dalam membuat keputusan sama ada objektif pembelajaran telah tercapai atau tidak. Dengan ini, guru dapat membuat pertimbangan dalam memastikan keberkesanan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang digunakan.

Dalam kajian-kajian yang telah dijalankan dalam bidang pendidikan, penggunaan istilah 'pentaksiran' (assessment) dan 'penilaian' (evaluation) adalah ditakrifkan dalam dua keadaan. Yang pertama sebagai dua konsep yang berbeza; dan yang kedua sebagai satu maksud yang serupa. Menurut David Payne dalam bukunya "Applied Educational Assessment” edisi kedua, tahun 2003, pentaksiran ialah integrasi proses mengumpul maklumat, menginterpretasi maklumat atau memberi nilai kepada maklumat itu dan membuat keputusan berdasarkan interpretasi yang dibuat ke atas maklumat.

Secara umumnya pentaksiran dilihat sebagai satu proses mengumpul maklumat bertujuan untuk membuat keputusan mengenai pelajar. Oleh itu, untuk membuat keputusan, sesorang perlu menilai sama ada bagus atau tidak bagus, sah atau tidak sah, positif atau negatif, dan lain-lain lagi. Untuk membuat sesuatu penilaian, kita memerlukan maklumat daripada suatu proses pengukuran yang menggunakan instrument. Instrumen tersebut ialah pentaksiran. Sebagai contoh penggunaan kedua-dua istilah ini sebagai satu maksud yang serupa, sesetengah penulis menggunakan istilah 'formative evaluation' dan sesetengah yang lain menggunakan 'formative assessment'. Dalam laporan ini, istilah ‘penilaian’ yang digunakan merangkumi kedua-dua maksud ‘pentaksiran’ dan ‘penilaian’.