twitter

Pembentangan - 6 April 2012


Antara kelemahan yang dinyatakan oleh Wang (2000) dipetik daripada Daliyanie Mat Saaid (2011), pelajar seolah-olah dibentuk melalui ‘mesin’ (kurikulum). Kaedah pembelajaran ini menjadikan pelajar sebagai produk yang dibentuk dan pembelajaran akan berlaku secara terpaksa. Maka, ia tidak akan membantu pelajar dalam membentuk keyakinan diri. Kelemahan lain yang turut dinyatakan ialah penekanan pembelajaran yang lebih tertumpu kepada buku sebagai bahan rujukan kedua selepas guru. Pelajar akan menumpukan kepada konsep-konsep yang dipelajari dan terhad untuk mengatasi masalah tertentu sahaja. Kaedah ini menjadikan pembelajaran tidak disepadukan dengan dunia luar dan tidak mempedulikan isu-isu semasa. Dengan ini, pelajar akan menggunakan kaedah latih tubi dalam menguasai konsep matematik untuk cemerlang dalam peperiksaan.

Untuk menguasai ilmu matematik, pelajar seharusnya menguasai isi kandungan matapelajaran dan didedahkan kepada kemahiran dan strategi penyelesaian matematik yang luas. Seperti yang dinyatakan oleh Johari Hassan & Yeong (2010), "Ketrampilan isi kandungan adalah perlu tetapi bukan wajib untuk penyelesaian masalah, sebaliknya pengalaman dan pendedahan kepada kemahiran dan strategi penyelesaian masalah mungkin adalah faktor yang lebih penting." Namun begitu, masih ramai guru yang hanya memberi tumpuan kepada kandungan sukatan matapelajaran matematik dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Ini dapat dibuktikan melalui kajian yang dilakukan oleh Lim dan Zhao pada tahun 2005 bertajuk: Assessment and Examination System: A Comparative Study between Malaysia and Shanghai (China), di mana menyatakan terdapat beberapa faktor yang menyebabkan prestasi pelajar dalam matapelajaran matematik di China lebih baik daripada di Malaysia walaupun terdapat banyak persamaan di antara sistem peperiksaan di kedua-dua negara ini. Antara faktor tersebut ialah ketinggian tahap kandungan pengajaran di negara China.

Menurut mereka, di China, guru matematik cenderung untuk mengajar lebih daripada apa kandungan kurikulum yang diperlukan. Kandungan matapelajaran yang diajar oleh guru adalah lebih sukar berbanding buku teks sekolah dan kurikulum yang dirancang dan mereka percaya jika pelajar-pelajar diajar lebih daripada kandungan yang disediakan ia akan membawa kepada skor yang lebih baik dalam peperiksaan. Akan tetapi, di Malaysia, seperti yang dinyatakan dalam kajian yang sama, guru-guru hanya mengajar kandungan yang ditetapkan oleh sukatan pelajaran walaupun kandungan yang dinyatakan bertujuan untuk mencapai kecekapan minimum. Malah, sesetengah guru mungkin memilih untuk mengorbankan beberapa kandungan atau topik-topik di mana mereka merasakan terlalu sukar untuk pelajar-pelajar mereka dan mereka hanya menumpu pada topik yang terhad untuk memastikan pelajar-pelajar mereka boleh menguasai topik-topik ini dan seterusnya lulus dalam peperiksaan.

Jika pelajar-pelajar didedahkan dengan kemahiran dan strategi penyelesaian masalah selain yang terdapat dalam sukatan matapelajaran yang ditetapkan, mereka akan lebih cemerlang tanpa perlu memberi penekanan terhadap bentuk soalan peperiksaan dan latih tubi. Penilaian pada asalnya mempunyai kepentingan dalam meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Namun begitu, satu budaya yang terlalu berorientasikan peperiksaan mungkin mencipta kesan negatif ke atas pencapaian pelajar.

1 comments:

  1. VERY GOOD ONE

Post a Comment