Penekanan terhadap ilmu, sahsiah dan penerapan nilai, kadang kala menjadi perkara nombor dua untuk dicapai. Matlamat paling utama, pelajar mesti lulus peperiksaan UPSR dan PMR dan mendapat keputusan yang cemerlang. Banyak program sokongan yang dilaksanakan atau dianjurkan oleh Kementerian dan Jabatan Pelajaran lebih menjurus kepada usaha melahirkan pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan dan bukannya cemerlang secara menyeluruh.
Akibat daripada itu, timbul pelbagai tekanan dan beban kepada pelajar terutamanya untuk lulus cemerlang dalam peperiksaan. Tekanan yang dimaksudkan itu mungkin datang daripada guru, ibu bapa, rakan sekolah atau diri sendiri. Selain itu, pendidikan berorientasikan peperiksaan juga turut memberi tekanan kepada guru-guru untuk melaksanakan pelbagai program yang dirancang oleh Kementerian/Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah dan program sekolah masing-masing.
1. Sikap Pentadbir
Sikap pentadbir yang berlumba-lumba untuk mencapai target kecemerlangan menyebabkan semua program bertunjangkan akademik. Keputusan peperiksaan terlalu dititikberatkan, kebanyakan sekolah akan memberi sumber daya yang lebih banyak kepada pelajar yang berprestasi tinggi, akibatnya pelajar yang kurang maju diabaikan. Program-program diberi keutamaan kepada murid-murid yang cemerlang. Peluang-peluang dan hadiah penghargaan atau pencapaain selalu dianugerahkan kepada pelajar yang berjaya mencapai kecemerlangan manakala golongan yang mendapat markah yang rendah atau tidak lulus, akan terabai. Masalah golongan yang diabaikan ini menjadi semakin teruk, menyebabkan peratusan yang tinggi untuk berhenti sekolah apabila sampai pada peringkat sekolah menengah.
Di samping itu, pihak pentadbiran pendidikan yang terlalu mengikut birokrasi yang mementingkan keuntungan dan keputusan prestasi sendiri pula akan menjadikan peperiksaan sebagai alat pengurusan utama mereka untuk menguasai pengetua dan guru-guru di sekolah. Pelbagai program seperti kursus, latihan dan bengkel Matematik ditawarkan kepada sekolah-sekolah dan menjanjikan imbuhan kepada sekolah yang membenarkan mereka berhubungan dengan pelajar. Hal ini menyebabkan sesetengah pentadbir menerima sahaja tanpa memikirkan kualiti bahan yang ingin disampaikan.
2. Faktor Guru
Faktor guru juga mempengaruhi sistem pentaksiran dan peperiksaan di sekolah. Pendekatan pengajaran yang digunakan oleh sebahagian guru yang menjurus kearah peperiksaan menyebabkan mereka berlumba-lumba untuk menghabiskan sukatan pelajaran tanpa mengambil kira penguasaan murid dalam sesuatu tajuk. Dewasa ini, biarpun banyak pendedahan, pedagogi dan pendekatan yang pelbagai tetapi guru sering mengamalkan konsep “talk and chalk” sahaja. Contohnya, penekanan terhadap ICT yang pastinya boleh meningkatkan tahap penguasaan murid, diabaikan kerana bimbang murid tidak habis belajar. Tekanan kepada peperiksaan menyebabkan guru mengharapkan jawapan akhir dan bukannya proses pembelajaran itu sendiri.
Selain itu, peperiksaan juga biasanya dibentuk dalam format tertentu yang lebih kepada soalan tertutup seperti soalan yang meminta jawapan akhir. Proses berfikir jarang dimuatkan dalam soalan. Contohnya dalam tajuk pentafsiran data yang diwakilkan oleh graf bar, biasanya soalan tertumpu kepada jawapan yang tepat dan jarang sekali kita jumpa soalan terbuka. Guru-guru selalu memberi soalan yang memerlukan pengiraan bagi mendapat sesuatu maklumat seperti berapakah tetapi tidak menggunakan soalan bagaimanakah atau mengapakah yang mana memerlukan kemahiran analisis, sintesis dan berfikir kreatif dan kritis. Hal ini akan menyebabkan pelajar-pelajar hanya akan menghafal cara atau proses untuk mendapatkan jawapan. Akhirnya mereka tidak berkemampuan untuk menyelesaikan masalah kehidupan kerana tidak tahu berfikir. Sistem pendidikan yang sedia ada telah membazirkan banyak sumber pendidikan, justeru tidak efektif dalam pembentukan bakat professional yang sanggup dan mampu menghadapi cabaran globalisasi abad ke 21.
3. Pengaruh ibu bapa
Pendidikan yang berorientasikan peperiksaan turut menyusahkan mereka yang kurang berpendapatan atau golongan yang miskin. Menurut Coleman report, 1966, kebanyakan keputusan pengajian pendidikan menunjukkan bahawa latar belakang dan keadaan sosio-ekonomi keluarga seseorang pelajar ada kaitan yang rapat dengan keputusan peperiksaannya. Malahan faktor keluarga lebih mempengaruhi pelajar jika dibanding dengan faktor lain. Contohnya, biasa dilihat bahawa pencapaian yang tinggi biasanya dicapai oleh orang yang berada dan pelajar yang lemah biasanya datang dari golongan berpendapatan rendah. Ainsworth ( dalam hazil 1990 : halaman 10 ) mendapati bahawa latar belakang kediaman merupakan satu faktor utama yang mempengaruhi pencapaian dan pendidikan sehinggalah ke peringkat umur berhenti sekolah. Manakala menurut Manja (1990 ) ibu bapa dari kelas sosioekonomi y ang tinggi biasanya mempunyai latar belakang pendidikan yang baik.
Oleh kerana sistem pendidikan kita berorientasikan peperiksaan, maka ibu bapa juga berlumba-lumba untuk memastikan anak-anak mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Mereka sanggup menghabiskan banyak wang untuk membiayai kelas-kelas tusyen atau menyediakan kemudahan belajar. Pengharapan yang terlalu tinggi terhadap anak-anak boleh menyebabkan tekanan kepada anak mereka tanpa disedari. Kerana itu tidak hairanlah kalau kita pernah mendengar kejadiaan bunuh diri, lari daripada rumah atau terlibat dengan gejala negatif akibat pengaruh rakan-rakan. Anak-anak akan merasa tertekan dengan harapan-harapan dan desakan para ibu bapa sedangkan pada masa yang sama mereka tidak mampu atau tidak berminat untuk memenuhinya.