Umumnya, penilaian dilakukan atas dua objektif utama iaitu untuk membantu pembelajaran dan untuk memperbaiki pengajaran. Walaupun penilaian adalah penting bagi menentukan keberkesanan suatu proses pengajaran dan pembelajaran seperti yang disebutkan, ia juga akan bertukar menjadi sesuatu yang negatif jika kaedah perlaksanaannya tidak tepat. Terdapat beberapa isu yang sering diutarakan mengenai sistem penilaian berkaitan dengan prestasi murid-murid di sekolah. Sebagai contoh, masih ramai guru yang menganggap penilaian adalah suatu proses untuk memilih dan mengasingkan pelajar sahaja, murid-murid pula menganggap mereka dikehendaki belajar untuk menghadapi peperiksaan. Maka, terjadilah proses pengajaran dan pembelajaran yang memberi tumpuan kepada peperiksaan. Ini bermaksud, murid-murid meletakkan tujuan belajar untuk lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan, manakala guru-guru pula menjalankan rutin mengajar dengan memberi fokus kepada soalan peperiksaan.
Matapelajaran matematik khususnya, murid-murid di sekolah telah terbiasa dengan kaedah pembelajaran secara latih tubi untuk cemerlang dalam peperiksaan. Ini kerana mereka telah sedia maklum bahawa matapelajaran ini sangat penting untuk dikuasai terutamanya untuk yang bercita-cita untuk menyambung pelajaran dalam bidang sains dan teknologi. Pendapat ini disokong oleh Nadzri Mohamed, Jamri Awang Besar, & Norhasliza Ahmad (2006) dan mereka menyatakan dalam kajian mereka mengenai pendapat umum dalam bidang pendidikan matematik iaitu: “Lulus dengan cemerlang dalam matematik menjadi syarat bagi para pelajar untuk ke tingkatan empat di sekolah berasrama penuh. Selepas menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kelulusan dalam matematik sekali lagi menjadi jaminan untuk melanjutkan pelajaran ke universiti dan pusat pengajian tinggi dalam kebanyakan bidang pengajian.” Maka, tidak hairanlah pada hari ini kebanyakan guru mengambil langkah untuk menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran berdasarkan peperiksaan kerana ia juga menjadi kehendak murid-murid dan ibu bapa.
Isu pengajaran dan pembelajaran berdasarkan peperiksaan boleh dibincangkan melalui dua keadaan: pertama, bentuk soalan peperiksaan kebiasaannya dilatih dalam bilik darjah; dan yang kedua, kebanyakan guru hanya menumpu kepada kandungan matapelajaran matematik dalam sukatan pelajaran yang disediakan. Bagi guru-guru, matapelajaran matematik diajar seperti ia adalah hanya ilmu kira-kira, kebolehan menggunakan rumus-rumus penghafalan dan latih tubi untuk cemerlang dalam peperiksaan. Kenyataan ini turut disokong oleh Zaleha Ismail & Arinah Zaidan (2010) dan di dalam laporan kajian yang sama mereka memetik kata-kata Peter Grootenboer (2004), “Kaedah ini (pengajaran dan pembelajaran berdasarkan peperiksaan) dikatakan lebih senang dan tidak perlu menyediakan bahan bantu mengajar. Namun pengajaran seperti ini tidak dapat menggalakkan pelajar untuk mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat.” Ini bermakna, kaedah ini mudah untuk dipraktikkan tetapi akan merugikan para pelajar kerana terdapat beberapa kelemahan.
Ekuiti
12 years ago